Jom Kembali Ke sekolah
Assalamualaikum,
Begitu pantas masa berlalu sama ada disedari atau tanpa disedari. Dua minggu percutian bagaikan tidak terasa. Kalau boleh memanglah mahu dipanjangkan lagi cuti sekolah ini. Namun kehidupan perlu diteruskan, perjuangan pula perlukan pengorbanan. Kita kenalah korbankan sedikit keselesaan bercuti. Walaupun namanya bercuti, namun ada dalam kalangan kita sama ada guru ataupun murid sama ada suka atau sebaliknya telahpun mengorbankan sedikit waktu cuti untuk kita menunaikan tanggungjawab sebagai seorang guru ataupun pelajar. Apa tidaknya, dalam masa bercuti ada tugas yang masih perlu diselasaikan. Guru-guru menghabiskan sebahagian waktu cuti untuk mengadakan kelas-kelas tambahan atau memeriksa kertas-kertas jawapan murid bagi peperiksaan Pertengahan Tahun yang tamat pada hari terakhir sebelum cuti sekolah bermula tempoh hari. Murid-murid di kelas-kelas peperiksaan pula perlu hadir untuk kelas tambahan berkenaan. Ramai juga murid yang terlibat dalam Perkhemahan Perdana Unit Beruniform yang telah diadakan di Jabatan Pertanian Ayer Hitam, Kluang dan Perkhemahan Interact di Kluang. Begitu juga ada guru-guru dan murid terlibat dalam lawatan sambil belajar ke beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Perak. Tidak ketinggalan murid-murid bersama guru-guru menjalani latihan bola jaring sebagai persediaan ke Karnival Sekolah Primier yang akan diadakan pada 19 hingga 21 Jun 2009.
Daerah Batu Pahat menjadi begitu meriah pada 1 hingga 9 Jun 2009 berikutan berlangsungnya Kejohanan Bola Keranjang dan Sofbol Peringkat Kebangsaan (MSSM). Sekolah kita TIGS tidak terkecuali terlibat dalam penganjuran kejohanan tersebut. TIGS telah diamanahkan membantu MSSM dan PPD Batu Pahat sebagai tuan rumah. TIGS dilantik sebagai AJK Sambutan/Protokol/ Jemputan dan juga menjadi AJK Penginapan dan membantu JK Pengangkutan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada guru-guru TIGS yang telah bertungkus-lumus pada sepanjang tempoh tersebut terutamanya JK Sambutan/Protokol/Jemputan (En. Yazid, En. Kamil, En. Shahrizan, En. Mohd. Faizal, En. Mohd. Nor Suhaimi, En. Zairul Affindy, Cik Norizan, Cik Irrina Sakinah, Cik Nurbaizura, JK Penginapan Pn. Marpuah, Pn. Hjh. Norasmah, En. Idrus, Cik Hazlinda dan guru-guru lain yang tak tercatat di sini, juga terima kasih dan penghargaan kepada pemandu-pemandu iaitu En. Norhizat dan En. Nasiruddin.
Apa pun saja aktiviti yang telah dijalankan pada sepanjang waktu cuti sekolah, saya sangat menghargainya dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru, murid dan ibu bapa yang anak mereka terbabit dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Alhamdullillah saya bersyukur kepada Allah kerana sentiasa memberikan perlindungan dan keselamatan kepada setiap warga TIGS yang terlibat menjayakan aktiviti itu.
15 Jun 2009 merupakan hari pertama persekolahan bagi Penggal Kedua Sesi 2009. Pada hari ini akan diadakan Perhimpuan Kokurikulum. Semua guru dan murid diharapkan tidak akan lupa untuk memakai uniform masing-masing. Jom kita siapkan semua keperluan persekolahan kita agar sekembalinya kita semua ke sekolah yang kita cintai ini, kita akan mendapat satu semangat baru yang lebih berkobar-kobar dan kuat untuk kita meneruskan perjuangan kita demi kegemilangan kita dan sekolah kita. Terimalah kenyataan bahawa masa yang telah berlalu tak mungkin akan dapat kita ambil semula. Harapan saya semoga semua guru dan murid telah benar-benar dapat memanfaatkan masa cuti itu dengan sebaik-baiknya. Apabila kita naik semula pada 15 Jun nanti, jangan toleh lagi ke belakang, terus tumpukan perhatian dan fokus kita ke depan. Di hadapan sana ada banyak lagi peluang yang terbuka, ada banyak lagi ruang yang luas perlu diteroka, ada banyak lagi cabaran yang menunggu kita, ada banyak lagi ranjau yang akan menyakat kita. Jadi marilah kita sama-sama teruskan usaha kita mendepani segala yang tiba di hadapan kita dengan kesabaran, keikhlasan, kegigihan dan sentiasa bertawakal kepad Allah. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dilindungi dari kesusahan, dipermudahkan segala tindakan, diperkenan segala permintaan dan dirahmati dengan kecemerlangan dan kesejahteraan.