Pendidikan Berkualiti

Another excellent Edublogs.org weblog

Archive for June, 2009


Selamat Datang Ke Hari Terbuka

Assalamualaikum,

          Hari ini 27 Jun 2009 adalah hari persekolahan ganti dan juga  Hari Terbuka bagi Peperiksaan Pertengahan Tahun.  Seawal jam 7.30 pagi telah kelihatan ibu bapa berduyun-duyun hadir ke sekolah walaupun masa yang ditetapkan mulai jam 8.00 pagi.  Terima kasih kepada semua ibu bapa yang dapat hadir dan selamat datang ke TIGS.  Komitmen dan kesungguahan ibu bapa yang hadir pada hari jelas terpancar melalui kehadiran dan kerjasama yang diberikan. Hari ini merupakan hari yang paling susuai untuk semua ibu bapa serta penjaga mengambil peluang keemasan berbincang mengenai prestasi akademik anak-anak.  Moga perbincangan ibu bapa dengan guru-guru kelas atau guru mata pelajaran dapat meguraikan kekusutan atau masalah yang dihadapi oleh anak-anak dalam pembelajaran.  Ibu bapa juga dialu-alukan untuk memberi pandangan dan cadangan yang positif demi kebaikan dan manfaat anak-anak di sekolah ini.

         Guru-guru kelas begitu sibuk melayani ibu bapa dengan penuh mesra.  Diharapkan semua ibu bapa yang hadir pulang dengan penuh senyuman.  Selepas ini diharapkan juga ibu bapa dapat terus membantu pembelajaran anak-anak di rumah supaya prestasi anak-anak terus meningkat.  Pemantauan di rumah sebahagian daripada faktor kecemerlangan anak-anak dalam semua bidang terutamanya akademik.  Yang kurang menyerlah masih ada peluang untuk digilap melalui usaha yang berganda dan berterusan.  Terima kasih kepada semua guru kelas dan juga guru-guru yang tidak mempunyai kelas tetapi telah sama-sama membantu sebagai guru gantian semasa guru kelas berhenti untuk berehat. 

         Para pengawas sekolah tidak ketinggalan memainkan peranan mereka bagi melicinkan dan melancarkan lagi proses pergerakan ibu bapa ke kelas-kelas.  Dengan bantuan para pengawas ibu bapa tidak mengalami masalah untuk terus menuju ke bilik darjah yang telah ditetapkan kecuali tingkatan empat dan lima di mana tempat perjumpaan ibu bapa dengan guru kelas adalah di Dewan Seri.  Terima kasih kepada semua pengawas sekolah yang begitu sabar dan setia melayani ibu bapa dari awal pagi hingga selesai Hari Terbuka. 

        Mudah-mudahan cuaca hari ini berpihak kepada kita.  Nampaknya cuaca begitu baik, redup dan nyaman walaupaun lebih kurang jam 10.00 pagi hujan gerimis turun sekejap.  Alhamdullilah hujan tidak lebat dan hanya sebentar saja, sekadar menyejukkan cuaca yang agak panas beberapa minggu ini. Mudah-mudahan juga sejuk hati kita sepanjang hari ini terutama ketika kita melayani ibu bapa sebagai tetamu istimewa sekolah pada hari ini.

 

Debaran Terjawab

           Sejak seminggu yang lalu  hati saya tak berapa tenang.  Sentiasa berdebar-debar kerana dalam minggu itu beberapa orang guru bersama-sama pelajar-pelajar sibuk membuat persediaan dan persiapan dengan berlatih tanpa mengenal penat dan lelah untuk menyertai beberapa pertandingan sama ada di peringkat daerah ataupun negeri.  Antaranya ialah Karnival Sekolah Primier Peringkat Negeri di Mersing mulai 19 hingga 21 Jun, Karnival Bahasa Inggeris Peringkat Negeri di mana TIGS mewakili daerah Batu Pahat dalam Perbahasan Ala Parlimen dan Choral Speaking.  Manakala di peringkat daerah pula Gerkorama Asrama Terbilang juga dilangsungkan di SMK Dato’ Syed Esan dan di SMK Tinggi Batu Pahat.  Sejak semalam guru-guru Bahasa Inggeris yang mengiringi pasukan bahas Bahasa Inggeris tak putus-putus mengutus sms kepada saya memberi maklumat mutakhir menganai prestasi pasukan itu.  Setiap kali sms berbunyi hati saya berdebar kencang.  Alhamdullilah TIGS mengungguli pertandingan ini dengan menjadi Johan setelah menumpaskan beberapa sekolah elit yang hebat seperti SIGS, Johor Bahru dan SM Sains Johor, Kluang.  Setelah usaha bersungguh-sunguh dilakukan akhirnya kita berjaya dengan amat cemerlang.  Tahniah, syabas dan terima kasih kepada setiap peserta perbahasan dan guru-guru pembimbing iaitu guru-guru Bahasa Inggeris Pn. Elizabeth, Pn. How Mui Hiong, Pn. Siti Zubaidah dan lain-lain. Cuma saya belum dapat khabat berita mengenai Pertandingan Choral Speaking di bawah bimbingan Pn. Norazah dan Pn. Siti Zubaidah Masini.  Harap-harap cemerlang juga.

           Hari ini juga debaran hati saya juga agak kencang memikirkan pertandingan-pertandingan sempena Gerkorama Asrama Terbilang peringkat daerah.  Dalam kesibukan bersama-sama guru-guru di sekolah menyertai Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP Bil 4/2009), sempat juga saya bergerak ke tempat pertandingan di SMK Dato’ Syed Esa.  Pencapaian Johan dalam Pertandingan Bahas, Pidato dan Catur adalah amat membanggakan juga.  Walaupun Asrama TIGS hanya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bola Jaring, namun itu tidak mengapa.. Buatlah mushasabah diri dan post mortem supaya pada tahun akan datang pencapaian pelajar dalam kokurikulum ini akan meningkat.  Walau bagaimanapun tahniah dan syabas diucapakan atas kejayaan tersebut.  Terima kasih kepada Pn. Marpuah (HEM), semua waden asrama dan penyelia asrama yang telah menguruskan asrama dengan cemerlang.

          Harapan saya kepada pasukan Bola Jaring ke Karnival Sekolah Primier di Mersing, Berjuanglah bersungguh-sungguh.  Kalah atau menang adat pertandingan.  Yang penting perjuangan kita.  Selamat maju jaya.

 

Jom Kembali Ke sekolah

Assalamualaikum,

           Begitu pantas masa berlalu sama ada disedari atau tanpa disedari.  Dua minggu percutian bagaikan tidak terasa.  Kalau boleh memanglah mahu dipanjangkan lagi cuti sekolah ini.  Namun kehidupan perlu diteruskan, perjuangan pula perlukan pengorbanan.  Kita kenalah korbankan sedikit keselesaan bercuti.  Walaupun namanya bercuti, namun ada dalam kalangan kita sama ada guru ataupun murid sama ada suka atau sebaliknya telahpun mengorbankan sedikit waktu cuti untuk kita menunaikan tanggungjawab sebagai seorang guru ataupun pelajar.  Apa tidaknya, dalam masa bercuti ada tugas yang masih perlu diselasaikan.  Guru-guru menghabiskan sebahagian waktu cuti untuk mengadakan kelas-kelas tambahan atau memeriksa kertas-kertas jawapan murid bagi peperiksaan Pertengahan Tahun yang tamat pada hari terakhir sebelum cuti sekolah bermula tempoh hari.  Murid-murid di kelas-kelas peperiksaan pula perlu hadir untuk kelas tambahan berkenaan.  Ramai juga murid yang terlibat dalam Perkhemahan Perdana Unit Beruniform yang telah diadakan di Jabatan Pertanian Ayer Hitam, Kluang dan Perkhemahan Interact di Kluang.  Begitu juga ada guru-guru dan murid terlibat dalam lawatan sambil belajar ke beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Perak.  Tidak ketinggalan murid-murid bersama guru-guru menjalani latihan bola jaring sebagai persediaan ke Karnival Sekolah Primier yang akan diadakan pada 19 hingga 21 Jun 2009. 

              Daerah Batu Pahat menjadi begitu meriah pada 1 hingga 9 Jun 2009 berikutan berlangsungnya Kejohanan Bola Keranjang dan Sofbol Peringkat Kebangsaan (MSSM).  Sekolah kita TIGS tidak terkecuali terlibat dalam penganjuran kejohanan tersebut.  TIGS telah diamanahkan membantu MSSM dan PPD Batu Pahat sebagai tuan rumah.  TIGS dilantik sebagai AJK Sambutan/Protokol/ Jemputan dan juga menjadi AJK Penginapan dan membantu JK Pengangkutan.  Setinggi-tinggi penghargaan kepada guru-guru TIGS yang telah bertungkus-lumus pada sepanjang tempoh tersebut terutamanya JK Sambutan/Protokol/Jemputan (En. Yazid, En. Kamil, En. Shahrizan, En. Mohd. Faizal, En. Mohd. Nor Suhaimi, En. Zairul Affindy, Cik Norizan, Cik Irrina Sakinah, Cik Nurbaizura, JK Penginapan Pn. Marpuah, Pn. Hjh. Norasmah, En. Idrus, Cik Hazlinda dan guru-guru lain yang tak tercatat di sini, juga terima kasih dan penghargaan kepada pemandu-pemandu iaitu En. Norhizat dan En. Nasiruddin. 

              Apa pun saja aktiviti yang telah dijalankan pada sepanjang waktu cuti sekolah, saya sangat menghargainya dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru, murid dan ibu bapa yang anak mereka terbabit dalam aktiviti-aktiviti tersebut.  Alhamdullillah saya bersyukur kepada Allah kerana sentiasa memberikan perlindungan dan keselamatan kepada setiap warga TIGS yang terlibat menjayakan aktiviti itu.

              15 Jun 2009 merupakan hari pertama persekolahan bagi Penggal Kedua Sesi 2009.  Pada hari ini akan diadakan Perhimpuan Kokurikulum.  Semua guru dan murid diharapkan tidak akan lupa untuk memakai uniform masing-masing.  Jom kita siapkan semua keperluan persekolahan kita agar sekembalinya kita semua ke sekolah yang kita cintai ini, kita akan mendapat satu semangat baru yang lebih berkobar-kobar dan kuat untuk kita meneruskan perjuangan kita demi kegemilangan kita dan sekolah kita.  Terimalah kenyataan bahawa masa yang telah berlalu tak mungkin akan dapat kita ambil semula.  Harapan saya semoga semua guru dan murid telah benar-benar dapat memanfaatkan masa cuti itu dengan sebaik-baiknya.  Apabila kita naik semula pada 15 Jun nanti, jangan toleh lagi ke belakang, terus tumpukan perhatian dan fokus kita ke depan.  Di hadapan sana ada banyak lagi peluang yang terbuka, ada banyak lagi ruang yang luas perlu diteroka, ada banyak lagi cabaran yang menunggu kita, ada banyak lagi ranjau yang akan menyakat kita.  Jadi marilah kita sama-sama teruskan usaha kita mendepani segala yang tiba di hadapan kita dengan kesabaran, keikhlasan, kegigihan dan sentiasa bertawakal kepad Allah.  Mudah-mudahan kita semua sentiasa dilindungi dari kesusahan, dipermudahkan segala tindakan, diperkenan segala permintaan  dan dirahmati dengan kecemerlangan dan kesejahteraan.