Ucapan Penghargaan
Mesyuarat Agung PIBG bagi tahun 2009/2010 telahpun selesai disempurnakan pada 16 Mei yang lalu. Walaupuan agak terlewat sedikit dari tarikh yang ditetapkan, namun akhirnya alhamdullilah mesyuarat tersebut dapat dilaksanakan dengan jaya dan meriah. Majlis tiga dalam satu iaitu Hari Ucapan, Penyampaian Hadiah Kecemerlangan dan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG telah berjalan dengan lancar. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada YB En. Koh Chee Chai kerana telah sudi menerima undangan pihak sekolah dan PIBG, merasmikan majlis dan menyampaikan hadiah-hadiah kecemerlangan calon-calon PMR, SPM dan STPM tahun 2008. Tahniah kepada ahli jawatankuasa baru yang sebahagiannya dipilih semula, begitu juga tahniah kepada AJK yang baru dilantik. Moga kerjasama antara PIBG dan sekolah bertambah erat demi kecemerlangan anak-anak kita di TIGS.
Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua ibu bapa yang hadir memeriahkan majlis tersebut. Sesungguhnya kehadiran tuan dan puan semua telah menyemarakkan lagi semangat dan inspirasi kami para guru dan murid-murid untuk terus berusaha demi kecemerlangan anak-anak kita di sekolah yang tercinta ini.
Kepada murid yang telah berjaya, teruskan usaha anda untuk kecemerlangan yang seterusnya. Juga kepada calon-calon PMR, SPM dan STPM tahun 2009 ini, ingatlah tanpa usaha sepandai mana pun kita belum tentu kita cemerlang. Cerah atau gelapnya masa depan kehidupan kita, kita sendirilah yang menentukannya. Oleh itu jangan sesekali istilah jemu atau malas ada dalam kamus kehidupan kita. Apa saja rintangan atau halangan yang kita hadapi, terimalah dengan reda sebagai satu ujian dan cabaran daripada Allah kepada kita. Kerana sayanglah Allah uji kita. Kita mestilah mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi untuk menangkis segala bentuk cabaran dan rintangan yang muncul di hadapan kita. Usahalah sekuat yang termampu dan kemudian berdoalah. Mudah-mudahan kita dilindungi dari segala kesusahan dan seterusnya sentiasa dirahmati dan dikurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat.