Usaha Tangga Kecemerlangan
Asalamualaikum semua guru dan pelajar TIGS.
Bulan Mei merupakan bulan yang sangat penting kerana pada sepanjang bulan ini begitu banyak aktiviti yang kita semua lalui sama ada di peringkat sekolah, daerah mahupun peringkat negeri dan kebangsaan. Bermula dengan Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 5 pada 8 Mei diikuti oleh Tingkatan 4 mulai 13 Mei, Tingkatan 6 Atas mulai 19 Mei dan Tingkatan 1,2, dan 3 mulai 25 Mei hingga 29 Mei 2009. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menduduki peperiksaan semoga semua pelajar benar-benar telah bersedia menghadapinya dan dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang dan gemilang.
Sambutan Hari Guru juga diraikan pada 16 Mei dan 18 Mei di peringkat sekolah. Sambutan peringkat daerah pula akan diadakan pada 27 Mei 2009. Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua guru khususnya guru-guru TIGS dan semua kaum guru di seluruh negara termasuklah guru-guru yang pernah mengajar dan mendidik saya semasa saya bersekolah di SK Seri Idaman (1961 -1966), SMK Yong Peng (1967 – 1971) dan SMK Sultan Ismail (1973 -1974) serta guru-guru di Sekolah Agama Seri Idaman dan Sri Bengkal. Terima kasih cikgu atas segala budi dan bakti kalian sehingga saya berada di kedudukan sekarang ini. Tanpa guru siapalah saya. Tanpa guru siapalah mereka yang berjaya kini. Jasa guru ibarat lilin sentiasa menerangi orang lain tentunya tidak akan saya lupakan dan akan saya kenang hingga akhir hayat. Moga seluruh kaum guru dan keturunannya akan sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah sepanjang hayat.
Cuti pertengahan tahun tidak lama lagi akan tiba iaitu mulai 30 Mei hingga 14 Jun 2009. Saya berharap semua guru dan pelajar akan memanfaatkan masa cuti tersebut dengan sebijak-bijaknya. Utamakan kualiti dalam setiap perkara yang kita lakukan agar hidup kita juga berkualiti demi kesejahteraan masa hadapan. Jagalah keselamatan diri dan keluarga. Bagi guru-guru yang ingin melancong, pastikan keselamatan diri dan keluarga menjadi keutamaan. Bagi pelajar jangan lupa mengulangkaji pelajaran di rumah. Jangan lupa pada tanggungjawab anda sebagai seorang pelajar dan anak kepada kedua-dua ibu bapa. Mudah-mudahan anda semua dilimpahi kerahmatan dan kesejahteraan.
Walaupun cuti sekolah, kita guru-guru juga sebenarnya terlibat dalam memastikan penjanguran Kejohanan Bola Keranjang dan Sofbol peringkat kebangsaan di Batu Pahat pada 1 Jun hingga 8 Jun 2009 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih atas pengorbanan guru-guru trbabit, moga Tuhan saja yang akan membalas jasa dan baktu tuan/puan kelak. Terima kasih cikgu.