CUTI SEKOLAH JANGAN SAMPAI CUTI BELAJAR
Assalamualaukum. Cuti sekolah amat ditunggu-tunggu oleh murid-murid dan guru-guru. Banyak perkara boleh dilakukan sepanjang waktu cuti sekolah. Kita boleh melancong ke tempat-tempat menarik di serata tanah air, boleh membantu mengurus majlis perkahwinan saudara-mara, boleh pergi tuisyen, boleh menonton televisyen, boleh balik kampung dan bertemu sanak-saudara atau ada pula murid yang nak bangun lewat sedikit, maklumlah pada hari persekolahan terpaksa bangun awal untuk bersiap-siap ke sekolah. Namun ingat !!!! Jangan sampai terlepas solat Subuh pula. Apapun yang hendak kita lakukan, hendaklah dirancang dengan baik dan telah dipersetujui oleh ibu bapa kita. Ada juga guru-guru yang mengadakan kelas-kelas tambahan khususnya untuk murid yang menghadapi peperiksaan awam pada tahun ini. Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru yang mengadakan kelas tambahan tersebut. Murid-murid pula haruslah sentiasa bersyukur kerana kesediaan guru-guru mengadakan kelas-kelas tersebut dan janganlah sampai ponteng kelas tambahan kerana mungkin ada banyak tips tambahan yang akan diberi oleh guru-guru. Kalau tidak hadir terlepaslah peluang keemasan itu. Tidak akan sama ilmu yang kita dapat terus daripada guru dibandingkan ilmu yang dititipkan daripada kawan-kawan kerana tentunya akan berlaku pencairan. Belajar sesuatu tidak akan ada jalan penghujungnya. Selagi hayat dikandung badan kita wajib belajar sama ada secara formal atau tidak formal. “Pembelajaran sepanjang hayat” ketika ini menjadi penting demi memartabatkan kualiti diri. Walaupun pembelajaran secara formal di sekolah ketika ini “dicutikan”, namun murid-murid tidak harus berhenti daripada terus belajar. Dalam proses belajar tidak ada istilah cuti. Belajarlah menggunakan masa cuti dengan bijak. Harapan saya gunakan masa cuti yang sangat berharga ini dengan sebaik-baik dan sebijak-bijaknya agar masa itu benar-benar berkualiti dan mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, malahan juga kepada keluarga dan sesiapa sahaja berada di sekitaran kita. Satu perkaran lagi yang perlu diingat ialah aspek keselamatan diri. Ingat keselamatan diri jadikan prioriti dalam kehidupan kita.