Pendidikan Berkualiti

Another excellent Edublogs.org weblog

Archive for March, 2009


CUTI SEKOLAH JANGAN SAMPAI CUTI BELAJAR

Assalamualaukum.  Cuti sekolah amat ditunggu-tunggu oleh murid-murid dan guru-guru.  Banyak perkara boleh dilakukan sepanjang waktu cuti sekolah.  Kita boleh melancong ke tempat-tempat menarik di serata tanah air, boleh membantu mengurus majlis perkahwinan saudara-mara, boleh pergi tuisyen, boleh menonton televisyen, boleh balik kampung dan bertemu sanak-saudara atau ada pula murid yang nak bangun lewat sedikit, maklumlah pada hari persekolahan terpaksa bangun awal untuk bersiap-siap ke sekolah.  Namun ingat !!!! Jangan sampai terlepas solat Subuh pula.  Apapun yang hendak kita lakukan, hendaklah dirancang dengan baik dan telah dipersetujui oleh ibu bapa kita.  Ada juga guru-guru yang mengadakan kelas-kelas tambahan khususnya untuk murid yang menghadapi peperiksaan awam pada tahun ini.  Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru yang mengadakan kelas tambahan tersebut.  Murid-murid pula haruslah sentiasa bersyukur kerana kesediaan guru-guru mengadakan kelas-kelas tersebut dan janganlah  sampai ponteng kelas tambahan kerana mungkin ada banyak tips tambahan yang akan diberi oleh guru-guru.  Kalau tidak hadir terlepaslah peluang keemasan itu.  Tidak akan sama ilmu yang kita dapat terus daripada guru dibandingkan ilmu yang dititipkan daripada kawan-kawan kerana tentunya akan berlaku pencairan. Belajar sesuatu tidak akan ada jalan penghujungnya.  Selagi hayat dikandung badan kita wajib belajar sama ada secara formal atau tidak formal.  “Pembelajaran sepanjang hayat” ketika ini menjadi penting demi memartabatkan kualiti diri.  Walaupun pembelajaran secara formal di sekolah ketika ini “dicutikan”, namun murid-murid tidak harus berhenti daripada terus belajar.  Dalam proses belajar tidak ada istilah cuti.  Belajarlah menggunakan masa cuti dengan bijak.  Harapan saya gunakan masa cuti yang sangat berharga ini dengan sebaik-baik dan sebijak-bijaknya agar masa itu benar-benar berkualiti dan mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, malahan juga kepada keluarga dan sesiapa sahaja berada di sekitaran kita.  Satu perkaran lagi yang perlu diingat ialah aspek keselamatan diri.   Ingat keselamatan diri jadikan prioriti dalam kehidupan kita.

PTK DATANG LAGI

          Selamat menduduki PTK kepada semua guru dan staf TIGS.  Fokus betul-betul kepada soalan dan fikirkan jawapan yang paling tepat.  Saya yakin berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang luas dalam tugas seharian sebagai guru, insyaallah anda semua akan berjaya mendapat Aras IV sebagaimana yang dihajatkan oleh semua.  Hari ini PTK untuk kumpulan staf sokongan dan DG 44, esok dan lusa pula untuk kumpulan yang lain DG 41.  Satu perkembangan baru yang lebih membantu calon PTK ialah “Open Book Test” di mana calon dibenarkan merujuk bahan bacaan untuk Kertas Umum.  Ini merupakan satu peluang baik yang harus digunakan sebijak-bijaknya kerana menjawab sambil merujuk memerlukan kemahiran mengurus masa secara bijak.  Dengan masa menjawab yang terhad dan dapat pula membuat rujukan sepontan dengan tepat adalah satu bonus.  Mudah-mudahan anda semua suksess Aras IV.  Amin

TIGS GEMILANG

         Lega sedikit debaran di hati setelah keputusan Peperiksaan PMR dan SPM diumumkan.  Berkat usaha semua murid, guru serta ibu bapa TIGS tetap unggul dalam daerah.  Dalam PMR 2008 TIGS memperoleh keputusan 100% lulus semua mata pelajaran dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.18.  Lebih membanggakan lagi bilangan dan peratus calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil juga meningkat iaitu dari 86 orang (49.43%) kepada 131 orang (50.58%). Tahniah dan syabas kepada anda sekalian yang menyumbang kepada kegemilangan tersebut. Tahun 2009 ini diharapkan keputusan PMR meningkat lagi dalam kedua-duanya iaitu dari segi GPS dan calon cemerlang.  Sasaran GPS 1.10 nampaknya masih lagi belum dapat dicapai. 

              Dalam SPM pula saya juga berasa amat bangga dan bersyukur kerana sasaran (ETR) sekolah tercapai di mana sekolah mensasarkan GPS 3.00 tetapi pencapaian SPM 2008 sebenar ialah 2.91.  Peningkatan juga berlaku dari segi jumlah calon yang mendapat 1A : 11 orang, berbanding 4 orang (2007) dan 1A +2A juga meningkat dari 19 orang (10.05%) kepada 25 orang (14.29%).  Semua mata pelajaran mencatatkan 100% lulus kecuali Matematik Tambahan yang hanya mencapai 98.86%.  Setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar, guru dan ibu bapa yang telah berjaya dengan cemerlang.  Teruskan usaha kita bersama semoga SPM tahun 2009 nanti lebih gemIlang.  Kita tidak boleh lagi terus berbangga dengan pencapaian yang lalu kerana semua itu telah menjadi bahan sejarah yang akan terpahat selama-lamanya.  Apa yang penting ialah apa yang akan kita hadapi tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.  Sejarah kegemilangan tidak akan berulang sekiranya kita tidak berusaha keras ke arah itu dan menambahbaik lagi apa yang telah kita ada.

                 Kepada pelajar-pelajar Tingkatan 6 Atas tahun 2009, anda semua perlu berusaha lebih keras kerana sejak tiga tahun ke belakang sekolah kita belum pernah lagi mencapai 100% lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.  Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.  Saya sangat ingin anda semua memecahkan ruyung itu demi kesejahteraan masa depan anda.  Buktikan STPM 2009 gemilang.  Saya sentiasa berdoa untuk kegemilangan anda semua.  Mudah-mudahan diberkati dan dirahmati ALLAH.