Pendidikan Berkualiti

Another excellent Edublogs.org weblog

SELAMAT MENGHADAPI SPM / STPM 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini 14 November 2011 bermulalah perjuangan sebenar calon SPM 2011 dengan Kertas Bahasa Melayu 1 dan 2 sehinggalah 14 Disember 2011 untuk Kertas Sains Sukan 1 dan 2, manakala peperiksaan STPM bermula pada 21 November 2011 hingga 15 Disember 2011. Alhamdullillah dalam keadaan cuaca yang baik hari ini, semua 189 orang calon SPM TIGS dan 1 orang calon menumpang telah hadir 100% lebih awal dari masa yang ditetapkan. Diharapkan keadaan seperti hari ini akan berkekalan sehingga SPM / STPM tamat.

Guru-guru TIGS akan sentiasa bersedia memberi sebarang bentuk bantuan yang diperlukan oleh semua calon. Kami juga sentiasa berdoa agar semua calon dapat menghadapai peperiksaan ini dengan penuh ketenangan dan kerahmatan, sentiasa dipermudahkan dalam segala urusan, diterangkan hati dan minda, diberikan kekuatan daya ingatan mengingati fakta-fakta tepat berkaitan soalan, dikurniakan tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi yang tinggi agar dapat menjawab soalan dengan cemerlang dan gemilang.

Selamat menghadapi SPM dan STPM 2011 dengan iringan doa restu untuk kecemerlangan anda semua.

Untuk lebih banyak maklumat dan panduan berkaitan tips menghadapi peperiksaan murid-murid bolehlah kunjungi alamat berikut :  Sila klik :  http://www.tipspeperiksaan.info/.

 

 

MAJLIS GRADUASI PERTAMA 2011

MAJLIS GRADUASI PERTAMA 2011

DEWAN SERI,

SMK (P) TEMENGGONG IBRAHIM,

TARIKH : 10 NOVEMBER 2011

Assalamualaikum wbt, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Yang Dihormati Dr. Kamariah binti Rahmat, Naib Yang Dipertua PIBG SMK(P)TI, Guru-Guru Penolong Kanan, Guru-Guru Kanan, guru-guru, dan graduan SPM dan STPM SMK Temenggong Ibrahim, Batu Pahat 2011.

Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Majlis Hari Graduasi SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat buat julung kalinya bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 dan 6 Atas dapat kita raikan pada hari ini dalam suasana yang penuh gemilang dan bermakna buat kita semua.

Pertamanya bagi pihak sekolah dan Jawatankuasa Hari Graduasi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran Yang Dihormati Dr. Kamariah binti Rahmat, Naib Yang Dipertua PIBG SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, ke Majlis Graduasi bagi menyampaikan ucapan perasmian dan menyempurnakan upacara penyampaian sijil graduasi pada hari ini. Walaupun majlis ini diadakan secara dalaman dan kecil-kecilan, namun apa yang saya pasti dan yakini adalah makna di sebalik majlis ini amat besar kepada anak-anak sekalian.

Sesungguhnya majlis yang julung kali diadakan pada hari ini diatur sedemikan rupa sebagai salah satu daripada program susulan kecemerlangan akademik sekolah ini yang akan menjadi tradisi kita untuk menzahirkan pengiktirafan kita kepada anak-anak kita yang berjaya menamatkan persekolahan dan akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM pada tahun 2011 ini. Majlis serupa ini nampaknya sudah menjadi satu “trend” terkini di sekolah-sekolah ternama mahupun sekolah-sekolah harian hatta di sekolah yang terletak di luar bandar sekalipun. Nampaknya hasrat sekolah kita untuk merealisasikan majlis ini telah menjadi kenyataan. Ini semua berkat kerjasama dan bantuan daripada PIBG sekolah dan AJKnya di bawah pimpinan YDP Yg. Berbahagia Prof Hashim bin Saim yang kini sedang menunaikan Fardhu Haji. Mudah-mudahan beliau selamat kembali dengan haji yang mabrur.

Hari ini merupakan kemuncak kepada usaha yang telah kita lakukan sebelum melangkah masuk ke medan perjuangan yang sebenarnya pada minggu hadapan iaitu mulai 14 November 2011 bagi SPM dan STPM dan seterusnya diharapkan akan dapat menuai hasil yang selalu kita impikan iaitu kecemerlangan pada Februari atau Mac tahun 2012 nanti. Justeru, jadikanlah hari ini sebagai kenangan yang cukup bermakna dalam tempoh 2 atau 5 tahun persekolahan anda di sekolah yang kita sayangi ini.

Saya juga yakin bahawa majlis ini amat sesuai untuk mencetuskan semarak kejayaan buat para graduan. Semoga di tempat ini, di dewan ini, di sekolah ini dan guru-guru di sekolah ini menjadi pendorong untuk anak-anak semua menanam tekad menjejakkan kaki ke menara gading, bukan sebagai pelawat tetapi sebagai penghuni yang memanfaatkannya untuk menimba ilmu demi kesejahteraan hidup pada masa hadapan.

Sejak sekolah ditubuhkan pada 1938, telah sekian lama sekolah telah melahirkan ribuan cerdik pandai, pegawai kerajaan, ahli profesional seperti doktor, peguam, pakar ekonomi, ahli akademik seperti pensyarah, guru, ahli politik dan bermacam-macam lagi bidang kerjaya di negara ini. Anda, para graduan TIGS akan menjadi sebahagian daripada mereka! Persediaan untuk menempuh dan merentasi cabaran dunia harus bermula dari sekarang dengan persediaan padu menghadapi peperiksaan SPM 2011 yang akan bermula hanya beberapa hari sahaja lagi dari sekarang. Berusahalah dengan iltizam yang tinggi dan penuh ketakwaan berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru anda untuk memperoleh kejayaan dan seterusnya memartabatkan TIGS sebagai antara sekolah yang cemerlang di negeri Johor dan Malaysia, sesuai dengan kedudukannya sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. Insyaallah

Harapan saya agar para graduan akan meneruskan budaya positif, sikap saling berkerjasama, saling menghormati, berdaya saing yang tinggi, mementingkan ilmu, saling memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain ke arah mencapai matlamat kecemerlangan bersama.

Gunakanlah peluang yang ada untuk memperkasa diri para graduan sekalian dengan kemahiran keinsanan (soft skills) seperti sikap tanggungjawab, menghargai alam sekitar, mengamalkan nilai-nilai etika, moral dan profesionalisme, memantapkan sipiritual, mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi, mempunyai ciri-ciri kepimpinan, mengamalkan kerja sepasukan, berfikiran kritikal dan menyelesaikan masalah, berkemahiran teknologi maklumat dan komunikasi , mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, bersaing pada peringkat global, mempunyai ciri-ciri keusahawanan dan mahir dalam pengurusan serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Para graduan sekalian,

Dalam dunia ini, tiada jalan pintas ke arah kejayaan. Nama-nama seperti Dato’ Sharifah Mazlina binti Syed Abd. Kadir, Dato’ Azhar Mansor, Datuk Abdul Malek Mydin, K. Mohandas dan Muhammad Muqarrabin seharusnya terjelma dalam kotak minda anda sebagai insan yang berusaha gigih hingga kadangkala mempertaruhkan nyawa demi mencapai matlamat meletakkan nama negara di persada dunia. Semangat juang inilah yang perlu dicontohi oleh para graduan. Majlis Graduasi ini dan peperiksaan SPM yang bakal ditempuhi hanyalah titik permulaan jalan kehidupan yang bakal anda terokai. Di hadapan anda sekalian nanti, terbentang pelbagai ranjau duri dan rintangan ke arah pencapaian kejayaan sebenar dalam kehidupan. Semangat perjuangan yang murni dan kekuatan iman perlu diperkukuh bagi membolehkan para graduan meneruskan perjalanan dengan penuh yakin dan tabah. Kami semua mendoakan kejayaan dan kesejahteraan anda.

Dalam majlis ini, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru, dan PIBG dalam menjayakan Majlis Graduasi ini sekali gus Majlis Mohon Restu yang akan diadakan pada hari ini. Terima kasih kepada semua guru yang telah melaksanakan tanggungjawab berat membimbing, mendidik dan menyediakan para graduan dengan segala kudrat yang ada supaya dapat menduduki peperiksaan SPM dan STPM dengan penuh yakin dan berjaya dengan cemerlang , Insyaallah. Bagi pihak mereka, saya dengan ini memberi restu dari hati tulus ikhlas dan menghalalkan segala ilmu pengetahuan dan didikan yang dicurahkan kepada kamu. Kami maafkan jika ada kesalahan yang telah dilakukan sepanjang berguru dengan guru-guru di sekolah ini. Mudah-mudahan dengan keikhlasan kami ini akan mendapat kerahmatan All SWT dan mengurniakan kita semua dengan kejayaan demi kejayaan yang cemerlang suatu hari nanti.

Kerjasama PIBG untuk sama-sama berganding bahu dengan pihak sekolah dalam program-program kerohanian sebelum ini seperti Solat Hajat Perdana bagi memohon keredhaan Ilahi untuk kejayaan para pelajar, amat kami hargai dan kami sanjung. Kepada para graduan, hargailah harapan tinggi yang telah disandarkan oleh ibu bapa anda. Balaslah jasa mereka dengan ‘juadah’ kejayaan yang hasilnya begitu indah dan dapat dinikmati selama-lamanya.

Pengakhir kalam, tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan dan selamat maju jaya pada masa hadapan. Terima kasih khusus buat Yang Dihornati Dr. Kamariah kerana sudi hadir dan seterusnya menyempurnakan majlis kita pada pagi ini. Mudah-mudahan kehadian puan akan menambahkan lagi seri dan meningkatkan lagi semangat untuk berjaya seperti apa yang telah puan capai pada hari ini. Mungkin ada di antara graduan di bawah ini yang akan mengikut jejak langkah Dr. Kamariah kita. Insyaallah.

Sebelum mengundur diri, ingin saya titipkan dua rangkap pantun,

Berburu ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Jika berguru kepalang ajar

Bagai bunga kembang tak jadi.

 

Nasi lemak dimakan berkongsi

Makan bersuap sanak saudara

Hari ini anak-anak bergraduasi

Didoakan esok berjaya dan sejahtera.

 

Sekian, terima kasih,

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selamat Menyambut Deepavali

Selamat menyambut Deepavali kepada semua guru, staf sokongan dan murid-murid yang beragama Hindu di seluruh Malaysia, khususnya di TIGS. Semoga mereka gembira merayakan Deepavali bersama-sama keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan.

Kepada semua murid ambillah peluang cuti perayaan ini untuk sama-sama mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali dan berkunjung ke rumah rakan yang merayakan Deepavali dengan semangat perpaduan 1 Malaysia.

Di samping itu jangan pula lupa bahawa Peperiksaan Akhir Tahun bagi semua tingkatan masih belum tamat. Gunakanlah peluang dan ruang masa cuti selama seminggu ini untuk meneruskan usaha mengulangkaji pelajaran supaya mendapat keputusan yang lebih cemerlang.

Juga jangan lupa membantu ibu bapa dalam urusan yang berkaitan dengan kehidupan keluarga seharian. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang beruntung kerana memanfaatkan masa cuti dengan sebaik-baiknya dan berkualiti.

Kepada rakan-rakan pendidik, bersyukur kerana cuti kali ini memberi peluang kepada kita untuk menyemak dan menanda kertas-kertas jawapan dalam suasana yang selesa di rumah.

Terima kasih.

 

TAHNIAH TIGS SEKARANG SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN

Tarikh 27 September 2011 merupakan tarikh keramat buat warga TIGS kerana telah dinobatkan dan diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Fasa 5 2011. Pengiktirafan ini amat bermakna kepada seluruh warga TIGS kerana usaha keras sekian lama telah membuahkan hasil dan mendapat pengiktirafan KPM. Tahniah dan syabas dirakamkan kepada semua guru, murid, PIBG. Semoga kejayaan ini dapat menyuntik semangat untuk bergerak ke hadapan bagi mencapai kejayaan yang lebih tinggi dan manis.

Kejayaan ini bukanlah kejayaan yang diraih dalam jangka masa yang singkat. Amalan budaya sekolah oleh setiap warganya dapat menjana dan memacu kejayaan ini. Antara budaya sekolah yang diamalkan ialah budaya mementingkan kecemerlangan, menghargai masa, kerja sepasukan, budaya ilmu, menghormati, budaya bersalam-salaman, daya saing, budaya ICT, dan prihatin, Jelas bahawa amalan budaya kerja cemerlang tersebut merupakan resipi kejayaan TIGS.

Untuk lebih jelas lagi tentang apa itu sekolah kluster kecemerlangan eloklah saya kongsikan di sini maklumat berkaitan.

Sekolah Kluster

Latar Belakang

Penubuhan Sekolah Kluster terkandung dalam Bab 9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2006. Pewujudan Sekolah Kluster adalah berdasarkan pendekatan kedua PIPP iaitu untuk mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan yang mekanismenya dinyatakan dalam Teras Strategik Ke-6, Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan. Tinjauan literatur menunjukkan bahawa amalan mengelompokkan sekolah dilaksanakan di luar Negara untuk peningkatan kualiti pendidikan. Pengelompokan yang dilaksanakan di luar Negara adalah berasaskan lokaliti ataupun kecemerlangan.

Definisi

Sekolah kluster ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.

Tujun

Sekolah kluster diwujudkan bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia

Pelaksanaan

Terdapat tiga jawatankuasa yang ditubuhkan bagi melaksanakan konsep sekolah kluster. Jawatankuasa tersebut ialah ;

• Jawatankuasa Pemilihan Sekolah – dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
• Panel Penasihat – dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad.
• Jawatankuasa Pelaksana – dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Jabatan Sekolah)

Pelaksana sekolah kluster adalah berasaskan kepada proses desentralisasi yang melibatkan pengupayaan sekolah menerusi pemberian autonomi terpimpin. Pandangan stakeholder seperti PIBG, Alumni, pemimpin sekolah dan guru turut diambil kira dalam pelaksanaan sekolah kluster. Mereka telah terlibat secara langsung dalam Bengkel Autonomi Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah diadakan pada 19-20 Mac 2007. Panel Penasihat Sekolah Kluster pula akan membantu menyumbangkan kepakaran mereka bagi memastikan pelaksanaan sekolah kluster dapat berjalan dengan jayanya.

Kriteria Pemilihan Sekolah Kluster

Pemilihan sekolah kluster akan dibuat berdasarkan kepada kluster berikut :

• Sekolah Rendah yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Orang Asli.
• Sekolah Menengah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Harian, Sekolah Premier, Sekolah Seratus Tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya dan Sekolah Model Khas.
• Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SPK) dan Sekolah Menegah Pendidikan Khas (SMPK), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPKV).
• Sekolah Antarabangsa dan Sekolah swasta
• Institusi lepas menengah seperti Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG)

Pemilihan sekolah tersebut perlu memenuhi prasyarat dan syarat berikut:

• Prasyarat Pertama
- Pengukuhan Standard Sekolah
-Sekolah mestilah mencapai sekurang-kurangnya Taraf Cemerlang berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)


• Prasyarat Kedua
-Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Rendah)
-Gred Purata Sekolah (GPS) untuk peperiksaan awam PMR dan SPM 3 tahun berturut-turut:

- SBP : GPS 2.5 dan ke bawah
- SMKA : GPS 3.0 dan ke bawah
- SMT : GPS 4.0 dan ke bawah
- SM Harian : GPS 4.0 dan ke bawah

• Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Rendah)
-Sekolah Rendah Harian : 80% dan ke atas murid lulus semua mata pelajaran dalam UPSR, atau
-Peratus kelulusan menunjukkan peningkatan; atau
-GPS UPSR : 2 dan ke bawah

Syarat pemilihan

• Kecemerlangan murid dalam aspek :

i) Akademik
ii) Kokurikulum
iii) Sahsiah

• Pengurusan sekolah berwawasan dan berkesan
• Pembangunan sumber terurus dan digunakan secara optimum
• Pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan berkualiti
• Pengurusan pengajian dan pembelajaran yang berkesan
• Iklim sekolah kondusif untuk pembangunan modal insan
• Keberkesanan pelaksanaan program KPM
• Sekolah berwatak

Sekolah yang memenuhi prasyarat dan syarat yang ditetapkan di atas boleh mengemukakan permohonan dan prosedur pemilih adalah seperti berikut ;

• Langkah 1: Penerimaan pencalonan
• Langkah 2: Penilaian menggunakan instrument SKPM dan Annex
• Langkah 3: Penentuan standard (standard fixing) oleh JK Pelaksana Sekolah Kluster
• Langkah 4: Kesahan calon dalam Mesyuarat Hal-Hal Profesional
• Langkah 5 : Calon dimaklumkan kepada Lembaga Penasihat
• Langkah 6: Pengumuman oleh YB Menteri Pelajaran


Pengurusan Sekolah Kluster

Pemimpin sekolah kluster ialah :

• Pengetua/Guru Besar (DG52/DGA 36)
• Pemimpin yang terpilih memenuhi syarat pemimpin cemerlang
• Jawatan : school-based post

Guru-guru sekolah kluster pula :

• Memenuhi criteria Guru Cemerlang
• Prestasi mereka akan menentukan sama ada mereka kekal mengajar di Sekolah Kluster
• Boleh mendapatkan perkhidmatan pakar mengikut niche areas sekolah dalam bidang kokurikulum secara kontrak atau sambilan
• Nisbah kelas : guru ialah 1:2

Kaedah pemilihan pelajar sekolah kluster :

• Kluster SBP, SMT dan SMKA kekal seperti amalan sedia ada
• Kluster lain, pengetua/guru besar diberi kuasa mengambil sejumlah kecil murid baru untuk bidang kebitaraan sekolah
• Ujian saringan sekolah

Akauntabiliti Pemimpin Sekolah

• Berpandukan

Key Performance Indicator (KPI)

i) pengurusan sumber manusia dan fizikal
ii) sumber kewangan
iii) pembangunan profesionalisme staf
iv) program kurikulum dan kurikulum berkesan
v) lulusan sekolah berkualiti: pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah

Autonomi Sekolah :

Jenis Autonomi yang diberikan kepada sekolah berikut :

• Umum (untuk semua sekolah)
• Khusus (mengikut keperluan sekolah berlandaskan kepada jenis sekolah, pengajiannya dan niche areas

Autonomi yang diberikan juga merupakan autonomi terpimpin yang memerlukan kepada :

• Pematuhan piawai yang berikut:

i) Akta Pendidikan 1996
ii) Sistem Pendidikan Kebangsaan
iii) Akta Tatacara Kewangan 1957, Pekeliling Perbendaharaan dan Garis Panduan dan Surat-surat siaran
iv) SKPM

Senarai Bidang Autonomi

i) Pengurusan Sekolah
ii) Pengurusan Sumber Manusia
iii) Pengurusan Sumber Kewangan dan Sumber Fizikal
iv) Pengurusan dan Pelaksanaan Kurikulum
v) Pengurusan dan Pelaksanaan Kokurikulum


Sumber maklumat :
http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com

SELAMAT BERJUANG DI MEDAN PEPERIKSAAN

Buat anak-anak TIGS yang sedang berjuang di medan peperiksaan terutama dalam PMR (4 hingga 11 Oktober 2011), SPM dan STPM pada bulan November nanti, saya doakan semoga anak-anak sekalian diberikan ketenangan maksima, kemudahan, kecerdasan minda, kecergasan fizikal, kesihatan tubuh badan dan keselamatan serta dihindarkan daripada segala kesukaran, kemusykilan, kekusutan, kemurungan  agar sentiasa diterangkan hati dan akal fikiran dan dapat menjawab semua soalan dengan betul, tepat dan menghasilkan semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Yakinlah jika kita telah berusaha sedaya upaya dengan gigih dan bersungguh-sungguh, sentiasa menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan seperguruan diikuti dengan doa yang tidak putus-putus kepada Yang Maha Esa,  insyaallah Allah akan menerima doa dan permintaan hamba-Nya.  Oleh itu jangalah berputus asa, kuatkan semangat dan percaya kepada diri dan sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya, kepada ibu bapa dan kepada guru-guru yang telah mengajar, mengasuh dan mendidik anak-anak semua hingga ke tahap ini.  Mudah-mudahan dengan keikhlasan semua pihak Allah akan merahmati dan memberkati kita semua dengan mengurniakan kejayaan yang gemilang dalam PMR, SPM, STPM dan peperiksaan dalaman yang lain.

Realisasikan  impian menjadi kenyataan.   Kecemerlangan anda semua kebanggaan seluruh warga TIGS.

Kini kembali semula

Assalamualaikum,

Apa khabar semua.  Telah terlalu lama blog ini tidak dikemaskini.  Kali terakhir ialah pada tahun 2009.   Banyak perkara telah dilalui  dan sudah tentu banyak juga perubahan  berlaku.  Sejak pandai ber”facebook”, dan kesibukan kerja seolah-olah tidak sempat untuk menjenguk blog.  Sebenarnya sejak dulu hingga kini, Allah beri kita jumlah masa yang sama panjang.  Namun mengapakah seringkali kita merasakan bahawa masa itu sepeti tidak cukup.  Ini mungkin kerana kesibukan kita dengan melakukan kerja-kerja rutin yang tidak pernah berkurang  ataupun kita tidak pandai merancang masa yang kita ada.

Cukup masa atau tidak, bergantung kepada bagaimana kita menggunakan dan memanfaatkan masa.  Cuma apa yang penting, pastikan masa yang berlalu itu tidak pergi begitu sahaja.  Penggunaan masa secara lebih berkualiti itu amat penting diamalkan oleh setiap individu bagi meningkatkan nilai tambah pada diri kita.  Merancang masa amat penting bagi memastikan kualiti masa itu.  Manakala disiplin diri dan kepatuhan terhadap ketetapan penggunaan masa juga amat penting dalam memastikan perancangan masa yang telah dibuat berjaya menepati objektifnya.

Sehubungan itu sempena cuti persekolahan dan cuti Hari Raya Aidilfitri, saya berharap kaum  keluarga, rakan-rakan , anak-anak murid dan sesiapa sahaja akan dapat memanfaatkan masa dengan berkualiti.  Sesungguhnya demi masa, rugilah seseorang itu  kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan penuh kesabaran dan rebutlah lima perkara sebelaum tiba lima perkara.

Selamat bercuti sekolah dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua kaum muslimin dan muslimat, moga kita semua dapat merayakannya dengan penuh kegembiraan.  Maaf zahir dan batin.

CALON PMR 2009 TIGS GIGIH PERTINGKATKAN KECEMERLANGAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sejak semalam 07 Oktober 2009 hingga 13 oktober 2009, semua calon PMR di serata tanah air sedang gigih berjuang dalam Peperiksaan PMR.  Selamat menduduki PMR kepada semua pelajar khususnya pelajar TIGS, dengan iringan doa restu semoga anak-anak sekalian dapat menjawab semua soalan dengan betul dan tepat.  Sepanjang tempoh peperiksaan ini cikgu doakan agar semuanya sentiasa sihat fizikal, mantap emosi dan sejahtera serta tenang rohani.  Dengan persiapan yang secukupnya bersama iringan doa restu ibu bapa dan guru-guru, cikgu penuh yakin anak-anak  PMR TIGS akan beroleh kecemerlangan dalam PMR 2009 ini.  Masih ingatkah lagi sasaran yang kita ingin capai?.  Kita ingin anak-anak  100% lulus semua mata pelajaran atau sekurang-kurangnya 132 orang (60.27%) mendapat A dalam semua mata pelajaran  dan GPS 1.10.   Kecemerlangan anak-anak menjadi kebanggaan kita.

LANGKAH MENANGANI PENULARAN WABAK H1N1

                 Salam Sejahtera semua, Salam Kemerdekaan dan Salam Satu Malaysia.   Bersyukur kepada Allah, kerana kita semua sihat dan dipanjatkan doa agar kita semua diberikan kesihatan yang maksimum sepanjang masa. 

                 Dalam keadaan dunia sekarang yang sedang berdepan dengan pendemik penularan wabak penyakit Influenza A ( H1N1), negara kita yang sedang bersemarak dengan sambutan Bulan Kemerdekaan tidak terkecuali terpaksa mendepani permasalahan dunia ini, lebih-lebih lagi dengan semakin bertambahnya kes-kes positif H1N1  dari semasa ke semasa.  Oleh itu, pihak sekolah telah mengambil tindakan bagi menangani penularan wabak yang digeruni ini daripada berlaku di sekolah. 

                Pihak sekolah memandang serius akan perkembangan semasa terutama yang melibatkan murid-murid sekolah ini.  Dengan merujuk Surat Kementerian Pelajaran KP/KPPM/10(62) bertarikh 25 Jun 2009 dan KPM bertarikh 29 Jun 2009, pihak sekolah telah mengeluarkan sepucuk surat  JEB0016/SMKPTI/03/04 001 bertarikh 11 Ogos 2009, ditujukan kepada semua ibu bapa dan penjaga murid mengenai langkah menangani penularan wabak Influenza A (H1N1) dalam kalangan murid sekolah.  Antara lain ibu bapa / penjaga  murid disarankan agar :

        1.     Menghindarkan anak-anak daripada tempat-tempat yang menjadi tumpuan awam sekiranya tidak perlu.

        2.    Mengingatkan anak-anak agar sentiasa menjaga kebersihan diri terutama mencuci tangan dengan betul.

        3.    Menangguhkan sebarang lawatan persendirian / perjalanan ke luar negara sekiranya tidak perlu.

        4.   Sekiranya anak-anak demam / mempunyai simptom H1N1 segeralah berjumpa doktor dan kuarantin anak-anak jagaan , JANGAN HADIR  ke sekolah sehingga pulih.

        5.    Sekiranya anak-anak pulang dari luar negara, pastikan anak-anak menjalani tempoh kuarantin selama 7 hari di rumah.

       6.    Galakkan anak-anak memakai topeng / mask ke sekolah / ke tempat awam terutama anak-anak yang telah sedia mengidap penyakit seperti asthma dan sebagainya.

       7.   Galakkan anak-anak minum banyak air masak (plain water), buah-buahan dan sayur-sayuran untuk meningkatkan imunisasi badan.

       8.   Hubungi pihak sekolah segera sekiranya anak-anak didapati positif H1N1.

Selain itu pihak sekolah juga telah mengambil beberapa tindakan awal  bagi sama-sama menangani penularan wabak ini, antaranya ialah:

          i.     Mulai Perhimpunan  Sekolah pada 27 Julai 2009 dan seterusnya, maklumat mengenai wabak ini telah dihebahkan dan dijelaskan kepada semua murid dan guru.   Setiap kali perhimpunan sekolah murid-murid akan diingatkan supaya menjaga kebersihan bagi mengelakkan dijangkiti oleh wabak ini.

        ii.     Pada 18 Julai 2009, Ceramah Kesihatan mengenai Wabak Influenza A H1N1 telah diadakan bgai semua guru dan staf sokongan semasa Hari Profesionalisme Bilangan 5/2009.  Semua guru dan staf sokongan diharap dapat menyebarluaskan maklumat ini kepada semua murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran sama ada secara langsung atau tidak langsung atau kepada kaum keluarga dan jiran tetangga masing-masing.

       iii.    Sekolah telah membeli 2 unit alat pengesan suhu untuk digunakan bagi mengesan suhu badan murid yang disyaki demam atau ada tanda-tanda akan demam dan telah digunakan mulai 10 Ogos 2009 yang lalu. 

       iv.   Pada 11 Ogos 2009 sekolah telah mengeluarkan surat rasmi kepada semua ibu bapa/ penjaga melalui anak-anak mereka sebagaimana yang saya sebutkan di atas.  Diharap ada dalam makluman semua ibu bapa / penjaga.

       v.    Pihak koperasi ada membekalkan topeng muka / mask kepada murid yang memerlukan.  Pihak sekolah ada menerima bekalan percuma sekotak mengandungi 50 keping topeng dan sebotol pencuci tangan, namun bekalan itu sememangnya tidak mencukupi.  Untuk memberi topeng secara percuma, sekolah tidak berkemampuan.  Oleh itu saya berharap agar ibu bapa / penjaga dapatlah kiranya membekalkan topeng untuk anak-anak masing-masing ke sekolah.  Pihak sekolah amat menggalakkan semua murid memakai topeng ke sekolah untuk tujuan perlindungan diri daripada dijangkiti wabak ini.  Bagi murid-murid asrama, pihak asrama hanya mampu membekalkan sekeping topeng sebelum meninggalkan asrama untuk pulang bermalam atau cuti sekolah yang lalu (22 Ogos 2009).

       vi.     Semua tandas guru dan murid telah disediakan cecair pencuci tangan agar dapat digunakan oleh semua guru dan murid memastikan tangan sentiasa bersih.  Diharap langkah ini dapat membantu murid sentiasa mengamalkan kebersihan diri.

       vii.   Maklumat dan peringatan juga disebarkan melalui brosur yang dipaparkan di papan kenyataan setiap bangunan sekolah.  Dengan cara itu semua murid pada setiap masa akan sentiasa peka dan sedar betapa pentingnya mereka perlu menjaga kebersihan diri dan mengambil langkah-langkah positif mengelakkan penularan wabak H1N1 ini.

             Untuk menangani penularan wabak H1N1 ini bukanlah terletak di bahu pihak tertentu sahaja.  Kerjasama semua pihak amat diperlukan.  JIKA ANDA BERASA MACAM NAK DEMAM, JANGAN lengah lagi, SEGERALAH berjumpa doktor untuk mendapat rawatan yang sewajarnya.  JIKA ANDA DEMAM, dapatkan rawatan doktor dan TIDAK PERLU HADIR ke sekolah.  Kerjasama daripada semua pihak, semua ibu bapa/ penjaga, guru-guru, staf sokongan dan pihak Jabatan Kesihatan dan Hospital amat dihargai.   Moga kita semua dihindari daripada penularan wabak H1N1 ini.   AMIN……..

Tahniah Guru-guru TIGS Naik Pangkat

           Ketika saya menghadiri Persidangan Pengetua Negeri Johor dari 6 hingga 8 Julai 2009, bertempat di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, saya mendapat perkhabaran gembira dari sekolah mengenai kenaikan pangkat guru-guru TIGS. Tahniah diucapkan kepada guru-guru TIGS yang baru saja menerima surat kenaikan pangkat.  Saya berasa amat bersyukur dan gembira kerana lebih ramai lagi guru-guru berpengalaman mendapat kenaikan pangkat sama ada dari DG41 ke DG44 Time Based ataupun Guru-guru Cemerlang dari DG44 ke DG48 dan dari DG48 ke DG52. Begitu juga dengan guru-guru yang mengajar Pra-U yang telah mendapat surat pelantikan  masing-masing.

           Mereka yang mendapat kenaikan pangkat DG44 Time Based ialah Pn. Suhaila binti Abdullah, En. Nordin bin Ahmad, Pn. Maznah binti Sartani, En. Mahbob, En. Razak dan Cik Fadzalitun binti Razak.  Guru Cemerlang dari DG44 ke DG48 ialah Pn. Nursidah binti Abdul Hamid dan Pn. Rudzial binti Fadil, manakala Pn. Hjh. Hasnah binti Samian telah menerima kenaikan dari DG48 ke DG52.  Tahniah juga guru-guru Pra-U iaitu Pn. Sarimah binti Arif sebagai Penolong Kanan Pra-U, En. Jumaat bin Kadir sebagai Guru Kokurikulum , Pn. Hjh. Rohana binti Wahab sebagai Guru Akademik DG44 dan Pn. Pay Soi Kim sebagai Guru Akademik DG52. Nampaknya semakin bertambah ramailah kalangan guru TIGS yang cemerlang mendapat pengiktirafan melalui kenaikan pangkat tersebut.  Memang betullah itu semua rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka, namun saya yakin semua itu adalah hasil usaha guru-guru melaksanakan tanggungjawab dengan gigih, komited, ikhlas dan sentiasa mengutamakan tugas melebihi kepentingan peribadi.  Pengorbanan, usaha berterusan serta keiltizaman guru-guru ini wajar dijadikan contoh teladan oleh guru-guru baru yang baru nak memulakan kerjaya menjadi guru. 

            Jadikanlah pengiktirafan ini sebagai penggerak untuk terus membuktikan kecemerlangan masing-masing kerana anak-anak didik di TIGS akan terus menagih bimbingan dan tunjuk ajar daripada anda semua.  Tanpa murid, tanpa institusi sekolah, tiadalah kerjaya guru sebagaimana apa yang kita nikmati ketika ini.  Transformasi yang telah anda alami ini merupakan cabaran baru yang memerlukan lebih komitmen daripada anda semua.  Berikanlah dan tunaikanlah hak anak-anak kita kerana itu adalah tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada kita untuk kita galas demi mencapai aspirasi negara menyediakan modal insan berminda kelas pertama.   Tahniah kepada anda semua.

Selamat Datang Ke Hari Terbuka

Assalamualaikum,

          Hari ini 27 Jun 2009 adalah hari persekolahan ganti dan juga  Hari Terbuka bagi Peperiksaan Pertengahan Tahun.  Seawal jam 7.30 pagi telah kelihatan ibu bapa berduyun-duyun hadir ke sekolah walaupun masa yang ditetapkan mulai jam 8.00 pagi.  Terima kasih kepada semua ibu bapa yang dapat hadir dan selamat datang ke TIGS.  Komitmen dan kesungguahan ibu bapa yang hadir pada hari jelas terpancar melalui kehadiran dan kerjasama yang diberikan. Hari ini merupakan hari yang paling susuai untuk semua ibu bapa serta penjaga mengambil peluang keemasan berbincang mengenai prestasi akademik anak-anak.  Moga perbincangan ibu bapa dengan guru-guru kelas atau guru mata pelajaran dapat meguraikan kekusutan atau masalah yang dihadapi oleh anak-anak dalam pembelajaran.  Ibu bapa juga dialu-alukan untuk memberi pandangan dan cadangan yang positif demi kebaikan dan manfaat anak-anak di sekolah ini.

         Guru-guru kelas begitu sibuk melayani ibu bapa dengan penuh mesra.  Diharapkan semua ibu bapa yang hadir pulang dengan penuh senyuman.  Selepas ini diharapkan juga ibu bapa dapat terus membantu pembelajaran anak-anak di rumah supaya prestasi anak-anak terus meningkat.  Pemantauan di rumah sebahagian daripada faktor kecemerlangan anak-anak dalam semua bidang terutamanya akademik.  Yang kurang menyerlah masih ada peluang untuk digilap melalui usaha yang berganda dan berterusan.  Terima kasih kepada semua guru kelas dan juga guru-guru yang tidak mempunyai kelas tetapi telah sama-sama membantu sebagai guru gantian semasa guru kelas berhenti untuk berehat. 

         Para pengawas sekolah tidak ketinggalan memainkan peranan mereka bagi melicinkan dan melancarkan lagi proses pergerakan ibu bapa ke kelas-kelas.  Dengan bantuan para pengawas ibu bapa tidak mengalami masalah untuk terus menuju ke bilik darjah yang telah ditetapkan kecuali tingkatan empat dan lima di mana tempat perjumpaan ibu bapa dengan guru kelas adalah di Dewan Seri.  Terima kasih kepada semua pengawas sekolah yang begitu sabar dan setia melayani ibu bapa dari awal pagi hingga selesai Hari Terbuka. 

        Mudah-mudahan cuaca hari ini berpihak kepada kita.  Nampaknya cuaca begitu baik, redup dan nyaman walaupaun lebih kurang jam 10.00 pagi hujan gerimis turun sekejap.  Alhamdullilah hujan tidak lebat dan hanya sebentar saja, sekadar menyejukkan cuaca yang agak panas beberapa minggu ini. Mudah-mudahan juga sejuk hati kita sepanjang hari ini terutama ketika kita melayani ibu bapa sebagai tetamu istimewa sekolah pada hari ini.